Sokongan terhadap Najib semakin rendah kerana rasuah

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Penurunan sokongan terhadap Datuk Seri Najib Razak berpunca daripada skandal rasuah yang terpalit ke atas Perdana Menteri itu sejak sekian lama.-Harakah Cetak

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar berkata, kemerosotan itu menunjukkan segala bentuk transformasi mahupun perubahan yang kononnya dilakukan Najib adalah gagal sama sekali.

Bercakap kepada Harakah hari ini, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, paling besar adalah kegagalan Najib dalam menjawab dakwaan kaitan dalam kes Scorpene yang seterusnya membawa kepada pendedahan oleh Deepak Jaikishen dalam isu kematian Altantuya Shaaribuu.

Lebih memberatkan lagi, terkini antara saksi penting dalam kes Altantuya iaitu bersama Penyiasat Persendirian P Balasubramaniam mendedahkan isu sebenar yang berlaku dalam kes tersebut yang menyebabkan Najib semakin tertekan menghadapi tuduhan itu.

Katanya lagi, disebabkan imej Najib yang terpaling dengan skandal tertentu, Umno-BN kini semakin cemas dan tidak lagi mendapat dukungan rakyat.

Paling parah katanya kaum Cina dan India menolak Umno-BN akibat kebobrokan Najib, malah mutakhir ini kaum melayu khasnya orang muda menolak Umno secara total.

Mahfuz mengulas kajian terbaru Merdeka Center 27 Februari lalu yang mendapati sokongan pengundi kepada Perdana Menteri menurun daripada 65 peratus pada Mei 2012 kepada 61 peratus pada Januari tahun ini.

Turut dicatat penurunan sokongan responden Melayu kepada kerajaan Umno BN.

Kajian tersebut juga mendapati, kemarahan masyarakat Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional masih tinggi iaitu pada kadar 68 peratus.

Masyarakat Melayu juga mencatat peningkatan kemarahan ke atas kerajaan apabila naik daripada 24 peratus pada Mei 2012 kepada 32 peratus pada Januari 2013. Manakala masyarakat India juga naik daripada 41 kepada 43 peratus dalam tempoh sama.

Seramai 1021 pengundi berdaftar yang membabitkan 59 peratus orang Melayu, 32 peratus orang Cina dan 9 peratus orang India terlibat dalam tinjauan kajian ini apabila mereka ditemuramah melalui panggilan telefon.-WNWY

 

Additional information