Keselamatan negara jangan dipolitikkan
Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR : PAS memberi amaran kepada kerajaan BN agar tidak mempolitikkan isu keselamatan dan kedaulatan negara dalam tragedi pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sejak dua minggu lalu.- Harakah Cetak
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar berkata, tuduhan yang dibuat oleh media arus perdana kononnya pimpinan pembangkang terbabit menghasut pihak pemberontak amat tidak bertanggungjawab.
Sambil menyifatkan ia satu fitnah jahat, Kamarudin yang dihubungi Harakah hari ini berkata, kerajaan tidak harus mempolitikkan isu ini kerana ia adalah soal kedaulatan negara dan nyawa anggota keselamatan.
Katanya lagi, isu tersebut sebenarnya jelas menunjukan kelemahan kerajaan dalam bertindak segera mengatasi ancaman pihak luar ke atas kedaulatan dan keselamatan negara.
"Kita pelik bagaimana begitu mudah penceroboh masuk ke negara ini dan melakukan serangan.Kita amat bimbang akan keselamatan awam dan anggota keselamatan di sana," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.
Beliau seterusnya menggesa Perdana Menteru, Dato' Seri Najib Tun Razak memanggil sidang tergempar Parlimen bagi menjelas dan membincangkan isu di Lahad Datu itu.
"Kita mahu kerajaan bentang semua maklumat kepada Parlimen sejak dari awal kes ini berlaku," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa anggota keselamatan yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna sejak seminggu lalu.- WNWY
