Tandatangan ikrar TIM tidak membersihkan rasuah lalu
KUALA LUMPUR : Adalah tidak munasabah pemimpin Umno-BN menggunakan isu tandatangan Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia yang dimulakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak sebagai landasan untuk 'membersihkan' semua rasuah dan salah guna kuasa yang mereka lakukan sebelum ini.- Roketkini.com
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob mengikut jejak langkah Perdana Menteri mengkritik pemimpin Pakatan Rakyat kerana tidak menandatangani ikrar itu seolah-olah menutup rasuah mereka sebelum ini.
Katanya lagi, Adnan mengulangi strategi lama apabila mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat enggan menandatangani ikrar itu kerana menyembunyikan sesuatu.
Katanya, Adnan ketika merasmikan mesyuarat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kuantan, Ahad lalu, menyatakan jika berlaku salah guna kuasa nanti mereka tidak mahu bertanggungjawab dan memberi alasan mereka tidak tandatangani ikrar itu.
"Saya terkejut dengan hujah tidak masuk akal dituduh seorang Menteri Besar seolah dia mengabaikan terus undang-undang, ajaran agama dan etika terhadap rasuah dan salah guna kuasa," kata Kit Siang dalam satu kenyataanya semalam.
"Adakah Adnan bermaksud pemimpin Barisan Nasional, sama ada di peringkat negeri atau negara, termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco negeri boleh didakwa mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa semata-mata kerana mereka belum menandatangani Ikrar itu,” ujarnya lagi.
Menurut Kit Siang, beliau sendiri ragu untuk menandatangani ikrar itu kerana Perdana Menteri tidak menunjukkan keseriusan dan iltizam kepada prinsip bagi memastikan pilihan raya bersih, beretika, bebas dan adil di negara ini.-Roketkini.com/WNWY
