Saya cabar pembangkang sila bawa usul tidak percaya di Parlimen – Anwar

CLAIM Free Shipping Shopee Sekarang! -> Claim Disini

Pembangkang kali ini telah dicabar untuk membawa usul tidak percaya di Parlimen jika mahu menumbangkan kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri telah berkata, Kerajaan Perpaduan sudah memberi peluang kepada usul tidak percaya dibuat, namun langkah itu tidak pernah dilakukan pembangkang sejak setahun lalu.

“Dah lama kita tunggu (usul tidak percaya), dah setahun. Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada, jadi kita tak ada fikir apa-apa. “Saya tidak fikir mereka ada kekuatan untuk bawa ini (Akuan Bersumpah bagi menumbangkan kerajaan) selain propaganda untuk menipu penyokong supaya tak hilang semangat. “Saya berbeza pendapat, kalau tak boleh bawa perubahan, patutnya bekerjalah untuk rakyat. Rakyat akan buat pilihan akhirnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), hari ini. Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bahawa sokongan terhadap seseorang Perdana Menteri harus diputuskan melalui undi percaya di Dewan Rakyat dan bukannya berdasarkan Akuan Bersumpah (SD).

Kelmarin, Hassan dilaporkan mengulas laporan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa bahawa pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 SD untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Mengulas dengan lebih lanjut lagi, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR berkata, pandangan Hassan mengenai undi tidak percaya itu adalah langkah yang sepatutnya diambil pembangkang.

“Itu pandangan yang sesuai, kerana (setiap) hari orang tanya, …Langkah Dubailah. Sekarang dah terbukti semua itu hanyalah sekadar politik cemas kalangan mereka yang kehilangan modal.

“Saya nasihatkan Jemaah Menteri, pimpinan dan kerajaan supaya tumpu untuk bangunkan negara. 2024 ini fokus kita adalah pembangunan dan keutuhan negara,” katanya.

Ditanya sama ada SD yang didakwa dimiliki pembangkang itu sebagai tidak sah, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tidak tahu kesahihan dakwaan itu.

“Kalau ada (SD) saya tak tahu,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan dakwaan Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai SD yang mencukupi untuk menukar kerajaan sebagai tidak boleh diterima.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, SD itu sebagai tidak sah.

Ahad lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan. Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh.

Bagaimanapun, Sabtu lalu Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing. Kenyataan itu didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti ditularkan di media sosial, juga adalah palsu.

 

Leave a Comment