Jangan Seperti Tong Kosong! Sila Buktikan Pada Ahli Parlimen

CLAIM Free Shipping Shopee Sekarang! ->

Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin telah mencabar pembangkang untuk membawa usul tidak percaya terhadap dirinya sebagai Perdana Menteri pada sesi persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula pada 26 Februari ini. Ia adalah susulan kewujudan ‘Langkah Dubai’ yang dikaitkan dengan pelan pembangkang mahu menumbangkan kerajaan menerusi penggunaan akuan bersumpah (SD).

Bahkan Perikatan Nasional (PN) mengakui sudah memiliki SD mencukupi jika mahu menjatuhkan kerajaan, namun pelan itu tetap menimbulkan persoalan adakah mampu direalisasikan jika menilai komitmen dan sokongan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan terutama daripada blok Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Anwar?

Atas faktor inilah, penganalisis politik mencadangkan kaedah terbaik untuk menguji kepercayaan Ahli Parlimen terhadap Anwar hanya boleh dilaksanakan di Dewan Rakyat dan boleh dilakukan dengan mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyeru pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar sebelum mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat jika PN serius mahu menguji keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan senario yang berlaku ini, Perdana Menteri sudah membuka jalan kepada PN untuk mengemukakan usul tidak percaya di Dewan Rakyat. Seharusnya ia disambut PN dan tidak mengeluarkan kenyataan menyalahkan kerajaan pula kononnya jika usul itu dikemukakan pun, kerajaan akan menolaknya.

Walaupun keputusan akhir untuk menerima atau menolak usul tidak percaya itu terpulang kepada budi bicara dan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat, seharusnya pembangkang menggunakan peluang terbentang ini untuk membuktikan dakwaan mereka, bukan seperti ‘tong kosong’ atau ‘cakap tidak serupa bikin’.

Dari sudut peraturan mesyuarat Parlimen pula, inilah masa sesuai kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membuktikan Kerajaan Perpaduan berpegang kepada tekadnya melakukan reformasi institusi Parlimen iaitu jika benar PN membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, maka usul itu patut dibenarkan dilaksanakan.

Jika kerajaan, khasnya Anwar yakin memang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, ini masa paling tepat untuk menunjukkan kepada rakyat dirinya layak sebagai Perdana Menteri. Sekiranya usul tidak percaya ini gagal, bermakna pembangkang selepas ini tidak layak untuk mempertikai keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Usul tidak percaya adalah langkah paling solid, demokrasi dan berperlembagaan selain menggunakan saluran pilihan raya untuk menentukan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri, seterusnya menutup mulut pembangkang untuk berhenti membuat kacau ganggu terhadap kerajaan.

Apa yang penting, pembangkang perlu buktikan ada sokongan Ahli Parlimen kerana usul tidak percaya ini selari dengan Perkara 43(4) Perlembagaan. Berani kerana benar, takut kerana salah. Rakyat tetap menanti kesudahan polemik ini.

Leave a Comment