Rakyat Kini Hanya Menanti Sinar Baharu Untuk Hidup, Orang Politik Hanya Leka Bercakaran Sesama Sendiri

CLAIM Free Shipping Shopee Sekarang! ->

‘Tebuk atap’, ‘pintu belakang’ atau apa juga panggilannya, ia tidak lain adalah rancangan untuk menumbang kerajaan. Selepas setahun Kerajaan Perpaduan berdiri, nampaknya gerakan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya tidak bernoktah.

Ada saja rancangan dan pelan untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Gerakan terbaharu hendak menumbangkan kerajaan dipanggil ‘Langkah Dubai’. Ada pula pemimpin Perikatan Nasional (PN) menyatakan gerakan yang dibuat adalah Langkah Chow Kit secara berseloroh.

Walau apa pun rancangan pembangkang ini, persoalan yang berbangkit sekarang adalah mengapa perlu ada gerakan menumbangkan kerajaan dan Anwar. Apa alasan dan signifikannya gerakan ini dalam konteks politik serta pentadbiran negara.

Jika hendak merebut kuasa, adakah pembangkang tidak mengkaji dan meneliti terlebih dulu realiti sokongan majoriti Ahli Parlimen diterima Anwar ketika ini. Atau, adakah gerakan terbaharu pembangkang ini didalangi pihak tertentu yang sebenarnya hanya mahu menurunkan Anwar, bukan hendak menumbangkan kerajaan.

Walaupun usaha atau inisiatif untuk menumbangkan kerajaan atau Perdana Menteri ini tidak menyalahi amalan demokrasi dan Perlembagaan, tetapi ia sebenarnya menyebabkan kerajaan menjadi tidak stabil, pembangunan ekonomi terencat dan usaha memacu semula kemakmuran negara dan rakyat terjejas.

Negara pernah berdepan pengalaman pilu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila dalam tempoh kurang lima tahun, negara memiliki tiga parti berbeza menjadi kerajaan dan mempunyai tiga Perdana Menteri berbeza sehingga menjadi bahan gurauan di negara jiran.

Ditambah pula kehidupan rakyat agak sengsara ketika tempoh 2020 hingga 2022 akibat sekatan pergerakan bagi mencegah pandemik COVID-19, kini patutkah negara dan rakyat terus diuji serta menjadi mangsa kepada gerakan menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri yang sudah tentu bakal mempengaruhi secara langsung usaha memulihkan ekonomi negara serta kehidupan rakyat.

Belalang amat sedih dengan perkembangan terbaharu dalam pentas politik negara ketika ini. Sampai bila agaknya politiking ini akan berterusan dan tidak berkesudahan. Negara tidak boleh menghadapi krisis politik dan pentadbiran berpanjangan kerana rakyat akan menerima kesan negatifnya.

Cukup-cukuplah orang politik ini main politik. Yang di-Pertuan Agong dan Raja sudah menegur serta menasihat. Kasihanilah rakyat yang hari ini terpaksa bertarung dan berjuang untuk hidup untuk meneruskan kelangsungan hidup di sebalik segala kepayahan mengharungi kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barang dan kuasa beli yang kian menyusut.

Leave a Comment