‘PAS Perlu Berani Untuk Berubah Jika Mahu Raih Sokongan Yang Bukan Islam’

CLAIM Free Shipping Shopee Sekarang! -> Claim Disini

Penganalisis politik berpendapat sasaran PAS menjadi parti pilihan orang bukan Islam pada 2030 mungkin boleh dicapai jika parti tersebut bersedia mengubah beberapa pendirian dan polisi mereka.

Saintis politik Wong Chin Huat berkata orang bukan Islam tidak mudah terpedaya dengan gimik politik dan akan menilai keikhlasan parti yang ingin meraih sokongan mereka.

Kata Wong, PAS gemar melabel orang bukan Islam dengan gelaran ‘kafir harbi’ malah menurutnya, parti itu turut melabel orang Islam yang tidak sependapat dengan mereka sebagai kafir.

“(PAS) Meniupkan ketakutan umat Islam terhadap bukan Islam, tetapi bila musim pilihan raya cuba meraih undi (bukan Islam), atau bila sambutan Tahun Baru Cina, muncul Tok Guru (Presiden PAS Abdul Hadi Awang) dengan pakaian merah dan bergambar dengan keluarga, anak menantu Cina, maka PAS tetap akan gagal mendapatkan sokongan (orang bukan Islam) 100 tahun dari sekarang.

“Orang bukan Islam tidak bodoh dan tidak akan terpedaya dengan gimik politik yang tidak ikhlas, mereka membuat penilaian mengikut fakta,” katanya kepada Malaysiakini.

Wong turut menegaskan bahawa PAS mestilah menghormati hak autonomi orang bukan Islam dengan memetik isu pasar dan medan selera Kampung Tiong di Kuala Terengganu yang sinonim dengan masyarakat Cina sejak 40 tahun lalu, kini ingin dibangunkan menjadi pangsapuri 30 tingkat oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“PAS mengangkat Dr Ahmad Samsuri (Menteri Besar Terengganu) sebagai calon PM akan datang, masyarakat bukan Islam akan meneliti bagaimana MBKT melayani (nasib peniaga) Pasar Cina di sana,” ujarnya.

Wong juga berkata PAS harus menunjukkan semangat meraikan kepelbagaian kaum seperti dianjurkan Islam.

Tangkis tanggapan perkauman

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali baru-baru ini berkata parti itu perlu menguasai isu berkaitan bukan muslim jika ingin menjadi parti dominan dalam kerajaan sama ada di peringkat negeri mahu pun persekutuan.

Ahli parlimen Kapar itu berkata, pihaknya mahu merangka pelan untuk menjadikan PAS sebagai parti pilihan orang bukan Islam dengan menyasarkan tahun 2030 sebagai detik matlamat tersebut dapat dicapai.

Wong menambah, pasca-2015 – ketika PAS berpecah dua dan kepimpinan diterajui kumpulan konservatif – PAS meletakkan parti mereka sebagai parti nasionalis Melayu-Islam dan ini menarik sokongan ramai pengundi dari segmen Melayu-Islam.

“Dan sudah tentu hal ini menjauhi pengundi minoriti (bukan Melayu-Islam). Sanggupkah PAS mengendurkan kedudukan ini (semata-mata) untuk menarik undi minoriti yang tak seberapa,” soalnya.

Tambahnya, jika Dr Halimah, yang merupakan orang Sarawak berjaya membuatkan PAS diterima di sana, maka parti itu mungkin mempunyai peluang besar.

“Dr Halimah orang Sarawak, kalau dia dapat mengubah PAS hingga boleh diterima di negerinya, sekurang-kurangnya orang Melayu Sarawak berminda terbuka, maka besarlah harapan PAS untuk berjaya.

“Sarawak Dan Sabah adalah contoh masyarakat yang menghargai kepelbagaian aneka dan budaya, (mungkin) PAS boleh melatih diri di sana,” katanya lagi.

Perkasa DHPP

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata PAS boleh memperkasakan sayap bukan Islam parti itu iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS, sebelum ini.

Menurutnya, PAS pernah menjalin kerjasama dengan gabungan dan parti lain yang mempunyai ahli bukan Islam sebelum ini dan sejarah menunjukkan parti itu mampu menarik sokongan pengundi dengan calon bukan Islam yang ditampilkan.

Dia berpandangan jika PAS mengetengahkan pemimpin yang memiliki ketokohan dan kewibawaan, ia mampu mengikiskan tanggapan kurang baik terhadap parti itu.

“PAS mempunyai DHPP, ia boleh diperkasakan dan sejarah menunjukkan PAS pernah bekerjasama dengan beberapa parti lain dalam Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat serta Perikatan Nasional (PN).

“Dalam politik tanah air, segalanya mungkin dan sejarah juga membuktikan mereka mampu menarik sokongan pengundi di pantai timur,” kata penganalisis Universiti Sains Malaysia itu.

Dia menambah, PAS perlu merangka pelan jangka panjang dan melihat bagaimana kerangka Negara Berkebajikan mampu dijadikan rujukan untuk menarik sokongan kaum dan etnik bukan Melayu.

“Beberapa perubahan atau pengubahsuaian perlu dilakukan dalam artikulasinya bagi mengubah persepsi dan tanggapan keterlaluan jika mahu menarik sokongan bukan Melayu,” katanya lagi.

Mahu tahu lebih lanjut sila layari pakatanrakyat.my

 

Leave a Comment