PN Semakin Lemah, Di Dahan Mana Lagi Yang Melayu Patut Berpaut

CLAIM Free Shipping Shopee Sekarang! -> Claim Disini

Malaysia adalah sebuah negara persekutuan yang dibina bertunjangkan masyarakat majmuk dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai satu kontrak sosial yang mengikat hubungan kaum di negara ini dengan meletakkan hak masing-masing setiap individu dan kaum.

Sebagai contoh, hak mengenai kebebasan dan keadilan seperti yang termaktub dalam Perkara 5 sehingga Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan diberikan kepada setiap warganegara tidak mengira kaum.

Hak untuk setiap kaum pula untuk beramal dengan agama masing-masing juga dijamin dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Malah, kaum Melayu sebagai kaum terbesar pula diberikan beberapa keistimewaan termasuk institusi Raja dan bahasa seperti yang termaktub dalam Perkara 153.

Kedudukan Islam pula dipelihara sebagai agama persekutuan seperti dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kesemua peruntukan ini kekal sejak merdeka dan tidak pernah cuba dirungkai oleh mana-mana pihak atau parti politik. Bagi mengukuhkan perpaduan pula di kalangan rakyat pelbagai kaum, Rukun Negara diperkenalkan pada tahun 1970 dan dipegang dengan kuat sehingga hari ini.

Malaysia terus membangun sejak merdeka kerana perpaduan yang dibina berpandukan dua dokumen ini. Namun, orang Melayu tetap bimbang kedudukan mereka tergugat walaupun dua dokumen ini menjamin kedudukan itu kerana ada pihak terutama orang politik cuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan permainan sentimen.

Apa itu permainan sentimen?

Secara mudahnya, permainan sentimen itu berlaku apabila diucapkan “Melayu terabai, Islam terancam” sedangkan dua dokumen itu telah menjamin kedudukan orang Melayu.

Hakikatnya, ancaman terbesar orang Melayu adalah lemahnya ekonomi, lemahnya taraf sosial, lemahnya pendidikan dan lemahnya moral.

Apakah semua ini berlaku kerana perlakuan orang bukan Melayu atau kelemahan sistem dan pelaksanaan pentadbiran selama ini?

Jawapannya, kelemahan ini bukan disebabkan perlakuan orang bukan Melayu tetapi lemahnya sistem dan pelaksanaan pentadbiran selama ini.

Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1971, namun masih ramai yang miskin kerana hanya segelintir orang Melayu sahaja mendapat agihan projek dan dibela sehingga kaya raya. Mereka yang kaya tidak mempedulikan kemaslahatan rakyat biasa.

Sektor pertanian misalnya yang mana sektor yang diceburi ramai orang Melayu tidak dimajukan dan ini antara punca kenapa orang Melayu terus mundur.

Kemajuan dan kecanggihan infrastruktur dan teknologi pula hanya tertumpu di kawasan bandar namun di kawasan luar bandar ketinggalan. Sedangkan orang Melayu kebanyakannya tinggal di luar bandar.

Sebab itu, hakikatnya sistem dan pelaksanaan pentadbiran perlu diubah. Jika tidak, orang Melayu akan terus lemah walaupun kita majoriti. Apabila kerajaan madani pimpinan Anwar Ibrahim dan pasukan PH banyak berusaha untuk perubahan ini, ia mula mendapat sokongan daripada ahli parlimen dan pemimpin Melayu terutama Umno serta parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Kini, ahli parlimen parti Bersatu pula mula memberikan sokongan kerana percaya dengan perubahan yang sedang dibuat. Keadaan ini jika berterusan akan membuatkan PN semakin lemah dan tidak lagi mampu untuk mempertahankan orang Melayu.

Mana-mana negara pun rakyatnya perlukan sebuah parti untuk bergantung dan berpaut. Ahli politik tidak boleh berjuang sendirian tanpa sebuah kapal. Kapal itu parti politik. Jika kapal sudah bocor dan menanti karam, apa pilihan yang ada? Sebab itulah semakin ramai MP Bersatu menukar kapal.

Kenapa perlu lagi orang Melayu menyokong Bersatu yang semakin lemah?

Kekuatan sesebuah parti juga bergantung kepada perjuangan pemimpinnya. Lihat sahaja kepada Anwar Ibrahim dan Mat Sabu. Mereka sebelum ini menjadi pejuang rakyat dan sering berbicara soal membela hak rakyat. Namun, bagi pemimpin Bersatu pula, hak rakyat apa yang mereka perjuangkan dan polisi apa yang mereka cadangkan?

Ringkasnya, mereka tidak berjuang mengenai nasib rakyat, tetapi bercakap tentang Melayu. Cukupkah jika bercakap, tetapi tidak berjuang? Inilah yang dinamakan bermain sentimen.

Apabila Bersatu lemah, PN akan turut lemah. Yang tinggal hanya PAS yang hanya tahu menyebut Islam. Tetapi, semasa menjadi kerajaan, agenda Islam dilupakan. Apa yang PAS perjuangkan, tidak pun dilaksanakan seperti RUU355 dan BMF.

Pemimpin PAS pula bermewah dan gagal mentadbir negeri dengan baik. Kelantan masih terbeban dengan masalah air dan Kedah pula terus mundur dengan tiadanya projek pembangunan. Adakah parti yang lemah seperti PAS ingin diharapkan untuk mengurus negara?

PAS adalah sebuah parti yang hanya tahu menggunakan Islam, tetapi hakikatnya Islam sudah terjamin di Malaysia. Apa yang perlu dibimbangi adalah ekonomi dan taraf sosial umat Islam.

Jika kita ingin memulihkan kedudukan umat Islam, kita perlu jadi kerajaan. Masalah tidak akan selesai dengan hanya dengan jadi pembangkang. Jika sekadar ceramah lawak jenaka, adakah ekonomi orang Melayu mampu dipulihkan?

PAS hanya menang di kerusi majoriti Melayu iaitu sebanyak ada 43 kerusi Parlimen. Dengan lemahnya Bersatu, PN pun lemah dan PAS kekal sebagai pembangkang.

PAS merupakan parti ekstrim dan tidak akan disokong oleh parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Kerusi di Semenanjung Malaysia pula, terdapat 139 kerusi majoriti Melayu, tetapi mustahil untuk PAS menang semua. Ini kerana PAS hanya kuat di empat negeri sahaja iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

PN Semakin Lemah, Di Dahan Mana Lagi Yang Melayu Patut Berpaut

Mana-mana parti memerlukan sokongan parti bukan Melayu untuk jadi kerajaan. PAS tidak akan jadi kerajaan dengan jadi parti solo. Untuk menjadi kerajaan, parti politik perlu mempunyai gabungan seperti BN, BA, PR dan PH. Maka, di dahan manakah orang Melayu patut berpaut?

Jika dengan PN, mereka semakin lemah dan kekal pembangkang. Oleh itu, orang Melayu perlu mula berfikir untuk bersama kerajaan madani yang disokong PH, Umno dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Kuatkan Melayu di dalam kerajaan. Inilah agenda penting umat Melayu hari ini. Untuk apa kita sokong parti yang menjadi pembangkang dan lemah pula.

Kita perlu bersatu dan bersama-sama kerajaan hari ini membuat perubahan dalam negara. Baik Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, fikirkan untuk Malaysia. Jangan risau, Melayu dan Islam tetap terpelihara dan terjamin.

Mahu tau lebih lanjut sila layari pakatanrakyat.my

Leave a Comment