Bersatu Pinda Perlembagaan Untuk Gertak MP Sokong Anwar

CLAIM Free Shipping Shopee Sekarang! -> Claim Disini

Seorang wakil rakyat Bersatu menganggap tindakan undang-undang yang diancam untuk dikenakan terhadap ahli parlimen yang ingin menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanyalah satu gertakan.

Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata tindakan tersebut lebih kepada untuk menghalang wakil rakyat beralih sokongan dengan cara menakut-nakutkan.

Katanya, tindakan itu mungkin sebagai reaksi kepada dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mendakwa kira-kira 10 lagi wakil rakyat PN akan memberikan sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar.

“Pada saya, langkah Bersatu untuk pinda perlembagaan dan ambil tindakan undang-undang tidak lebih dari sekadar untuk menggertak ahli-ahli parlimen lain yang akan nyatakan sokongan kpd PMX (Anwar).

Sebelum ini, Mohd Azizi bersama lima ahli parlimen Bersatu iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaru adalah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) mengisytihar sokongan kepada Anwar.

Susulan itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah undang-undang bagi membolehkan sesebuah kerusi itu diiystiharkan kosong jika wakil rakyat mereka berpaling tadah.

Menurut Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, parti itu akan meminda perlembagaan bagi mengelak berlaku lagi pengkhianatan.

“Mesyuarat bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan Bersatu bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil (PRK).

“Selaras dengan ketegasan itu, MKT juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pasrah dengan hukuman

Sementara itu, Mohd Azizi mendakwa pihaknya telah bertemu presiden parti Muhyiddin Yassin dan juga Hamzah sebelum dan selepas mengambil tindakan menyokong kerajaan untuk menyuarakan mengenai penyelesaian isu peruntukan ahli parlimen pembangkang khususnya Bersatu.

Justeru, katanya, perkara itu sememangnya telah dijangka dan dia sedia berdepan sebarang tindakan daripada parti.

“Sebelum ini, kami, ahli parlimen Bersatu dan PN sering menyuarakan kepada presiden dan membangkitkan mengenai isu peruntukan dan apa tindakan parti bagi membantu ahli parlimen menguruskan kawasan tapi pimpinan seolah-olah tiada kesungguhan untuk menjaga prestij dan kemaslahatan parti.

“Jadi, saya menyerahkan sepenuhnya kepada presiden dan pimpinan tertinggi parti mengenai apa jua bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap saya dan juga ahli parlimen yang menyokong PMX,” katanya lagi.

Mahu tahu lebih lanjut sila layari pakatanrakyat.my

Leave a Comment