Nik Elin, anak patut guna dulu saluran lebih harmoni

CLAIM Free Shipping Shopee Sekarang! -> Claim Disini

Amanah Selangor berpendapat keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan pasangan ibu dan anak dari Kelantan berhubung enakmen kesalahan jenayah syariah negeri itu menghantar satu isyarat jelas kepada semua pihak.

Menurut Biro Hal Ehwal Syariah (BHES) Amanah Selangor, ketetapan dibuat panel hakim pada beberapa hari lalu menunjukkan pentingnya pihak berkuasa agama sesebuah negeri memastikan aspek perlembagaan negara diberi perhatian sebelum sesuatu enakmen digubal.

Ketua BHES Amanah Selangor, Azrulkhakim Suradi, berkata pada masa sama pihaknya berpendapat ada cara lain yang boleh diambil oleh dua individu terbabit mencabar keabsahan enakmen berkenaan.

“Kami berpendapat sepatutnya pihak pempetisyen terlebih dahulu menggunakan medium yang lebih harmoni untuk menentukan keabsahan badan perundangan Kelantan sebelum memfailkan petisyennya.

“Mengambil tindakan yang lebih tertib dapat mengelakkan suasana tidak selesa dalam kalangan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 9 Feb lalu Mahkamah Persekutuan menerima permohonan Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar keabsahan Enakmen Kesalahan Jenayah Syarikah Kelantan.

Bagaimanapun daripada 18 peruntukan yang dicabar, mahkamah menolak dua daripadanya.

Panel sembilan hakim membuat keputusan 8-1 terhadap permohonan pasangan terbabit.

Agenda pemerkasaan jadi keutamaan

Pun begitu Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat mengingatkan keputusan berkenaan tidak ada kaitan dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah di negara ini.

Sebaliknya kata Tengku Maimin isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah sama ada Dewan Undangan Negeri Kelantan menggubal enakmen terbabit berdasarkan batasan ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

“Sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes ini,” katanya ketika membacakan penghakiman.

Untuk rekod Nik Elin dan anaknya mula memfailkan notis bagi mencabar peruntukan dalam enakmen berkenaan pada 25 Mei 2022 dan kebenaran diberi mahkamah pada 30 Sept tahun yang sama.

Nik Elin dan Tengku Yasmin Natasha kemudian memfailkan petisyen mereka di mahkamah pada 13 Okt 2022.

Azrulkhakim berkata BHES Amanah Selangor memuji komitmen kerajaan dalam isu berkenaan dan penegasan Putrajaya mahu menjadikan agenda memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan syariah sebagai keutamaan.

Katanya bagi memastikan pemerkasaan institusi kehakiman dan perundangan syariah, BHES Amanah Selangor juga menyeru kerajaan persekutuan bersikap proaktif dengan menyegerakan kewujudan jabatan pendakwaan syariah di peringkat persekutuan.

Badan itu, kata BHES Amanah Selangor, akan bertindak sebagai agensi penyelaras seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) seperti yang pernah disyorkan Mujahid Yusof sewaktu dia menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri dulu.

“Selain itu, bagi penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah termasuk peruntukan penalti dalam undang-undang keluarga Islam yang lebih efektif, kerajaan negeri hendaklah berusaha memisahkan bahagian penguatkuasaan agama di jabatan agama Islam negeri, dan dinaiktarafkan kedudukan dan bidang kuasanya sebagai sebuah jabatan berasingan.

“Melalui penguatkuasaan yang efisien, pendakwaan syarie yang kompeten dan mahkamah syariah yang cekap, insya-Allah hasrat melihat Institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia setaraf dengan mahkamah sivil atau lebih baik akan direalisasikan,” katanya.

Pada masa sama BHES Amanah Selangor juga mengharapkan agar model hierarki mahkamah syariah di Perak dicontohi.

Hal itu kerana, kata Azrulkhakim, Perak adalah satu-satunya negeri yang mempunyai hierarki mahkamah syariah sebanyak empat tingkat melalui penubuhan Mahkamah Utama Syariah Perak bagi menambah baik tiga lapisan sedia ada iaitu Mahkamah Rendah Syariah Perak, Mahkamah Tinggi Syariah Perak, dan Mahkamah Rayuan Syariah Perak.

“Kami sangat diyakini kompetensi pentadbiran kes di mahkamah syariah akan dapat diperbaiki lagi melalui peningkatan satu lagi hierarki mahkamah iaitu mahkamah utama syariah di peringkat negeri,” katanya.

Mahu tahu lebih lanjut sila layari pakatanrakyat.my

 

 

Leave a Comment