Malaysia bukan negara teokrasi

CLAIM Free Shipping Shopee Sekarang! -> Claim Disini

Bekas menteri undang-undang mengkritik respons Umno berkenaan cadangan pindaan perlembagaan dibuat, susulan pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Zaid mempersoalkan jika pemimpin Umno memahami bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara teokrasi, sebaliknya berlandaskan undang-undang sivil.

“sebelum kes Nik Elin, adakah pemimpin-pemimpin Umno ini tahu sejak 1957, bukanlah sebuah teokrasi tetapi negara dengan undang-undang sivil? Ini bermakna bukan semua hukum agama perlu dijadikan undang-undang; undang-undang sivil adalah sumber utama undang-undang dalam mentadbir negara ini.

“Sistem syariah adalah untuk undang-undang peribadi, tetapi badan undang-undang umum bukan undang-undang agama. Adakah mereka tak tahu?” soal Zaid di X.

Pada Jumaat lalu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 8-1 membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mahkamah antaranya menyatakan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya seperti yang termaktub Senarai Negeri Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan pembatalan 16 daripada 18 peruntukan tersebut.

Sehari kemudian, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata parti itu akan meminta semua pihak berkaitan untuk meneliti cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bgi memperkasakan undang-undang Syariah.

Pada masa sama, Mohamad menyangkal dakwaan bahawa keputusan itu sebagai memperkecilkan Islam mahupun sistem undang-undang Syariah.

Dia berkata demikian ketika mengulas cadangan pembangkang yang menggesa kerajaan dan semua pihak terlibat untuk berbincang tentang pindaan perlembagaan untuk memperkasa sistem itu.

Mengulas lanjut, Zaid berkata berbanding mempertahankan keputusan mahkamah, reaksi yang diberikan ahli politik bersifat emosi dan tidak berpijak di bumi nyata.

Dia berkata persoalan yang lebih penting adalah mengapa sistem perundangan Syariah sedia ada tidak dilaksanakan dengan memadai.

Antara lain, dia membangkitkan proses yang panjang dalam kes-kes penceraian dan tuntutan nafkah serta undang-undang yang tidak seragam untuk semua negeri.

“Jika pemimpin beragama Islam prihatin terhadap kepentingan anda (umat Islam), mereka sepatutnya menjadikan sistem sekarang lebih cekap dan berjalan dengan baik.

“Namun usaha yang bersungguh-sungguh perlu untuk memberikan pendidikan yang baik dan kuasa ekonomi kepada anda, serta menyediakan dana untuk perniagaan anda…Jadi mereka ambil jalan mudah (dengan berkata) anda perlukan lebih lagi undang-undang agama,” kata Zaid.

Leave a Comment